Tuesday, October 13, 2015

Jurnal 2 Minggu

Saya pernah belajar satu perkara sebelum ini. 

Jikalau kita seringkali kata kita tiada masa untuk melakukan sesuatu perkara, maka dinasihatkan kita menulis jadual atau jurnal harian untuk melihat di mana kelompangan itu berlaku. Betulkah tiada masa atau kita buat-buat sahaja?

Memandangkan saya selalu menjadikan tiada masa sebagai alasan untuk tidak membaca, maka saya pun cubalah strategi ini. Saya mula menulis aktiviti utama harian selama 2 minggu bermula 28 September -11 Oktober 2015. Font warna merah menunjukkan aktiviti membaca berjaya dilakukan.

28 September, Isnin
Hari yang sibuk. Sangat sibuk. Berkejar-kejaran menyiapkan pelbagai tugasan - ujian Quran, persediaan mukhaiyyam. Ya mukhaiyyam lagi. Bukan saya seorang sebegini, hampir kesemua guru. Almaklumlah, sekolah baru bermula setelah cuti persekolahan.  Tidak cukup di situ, hari ini ada kelas di USM. Habis sehari dengan kepenatan.

29 September, Selasa
Hari yang sibuk bersambung lagi. Persediaan untuk mukhaiyyam. Latihan, taklimat dan pelbagai lagi. Balik dari sekolah pun, saya sambung lagi dengan persiapan mukhaiyyam sehingga ke tengah malam. Mencari idea untuk mengajar anak murid saya membuat persembahan.

30 September, Rabu
Hari yang super duper sibuk. Bergerak merentas 3 negeri - Pulau Pinang - Kedah - Perak. Mujur hari ini ada pemandu. Mazlan menawarkan diri untuk menjadi pemandu. Hari ini, murid-murid kami akan bergerak ke Kem As-Salam, Selama, Perak untuk aktiviti mukhaiyyam khoriji selama 3 hari 2 malam.  Memandangkan hari ini saya ada kelas di USM, saya tidak boleh sehari penuh berada di sana. Jadi, saya hanya ikut menghantar rombongan murid, menyelesaikan beberapa perkara di sana dan tiba semula di Kulim pukul 2 petang. Selepas itu, kembali semula ke sekolah di Tasek Gelugor untuk mengambil hadiah sebelum menyambung perjalanan ke USM. Hari ini kelas Statistik hingga ke pukul 10.00 malam. Fuh! Kekadang saya sangat berharap pensyarah saya batalkan kelas. Huhu.

1 Oktober, Khamis
Awal pagi saya sudah bergerak ke Selama, Perak. Saya akan berada di Kem As-Salam sehingga esok. Aktiviti utama kami pada hari ini ialah jungle trekking dan sebelah malamnya ada persembahan. Biasanya apabila masuk ke dalam hutan, kita akan dilepaskan kumpulan demi kumpulan. Saya berada di Kumpulan 2, sebagai guru pengiring. Sebenarnya, pada ketika itu, hujan baru sahaja berhenti kira-kira sejam yang lalu. Maka, dari segi mental, kami perlu bersiap sedia dengan makhluk Allah yang satu ini iaitu pacat. Betul tekaan kami , kami sapu habis pacat-pacat di situ. Mahu dielak pun tidak mampu seperti di Lata Celak, sebab jalan-jalan di hutan tersebut sangat sempit dan ada keadaan saya mendaki sambil meniarap. Batu-batu berlumut yang licin dan air sungai yang deras antara cabaran yang memerlukan ketelitian agar tidak terjatuh. Sebaik tiba di kem, kami yang perempuan ini segera ke tandas. Maka berlakuklah adegan menjerit-jerit. Mana tidak, setiap seorang mesti ada ada dalam 4-5 ekor pacat di badan, termasuk saya. Pada sebelah malamnya, pula ada aktiviti persembahan murid dan BBQ. Yay! Kumpulan yang dipimpin saya menjadi juara persembahan.




2 Oktober, Jumaat
Sudah tidak sabar balik, Perut saya sudah sebu. Saya asyik terfikir ada pacat atau lintah di dalam badan. Saya tiba di rumah kira-kira pukul 1 tengahari. Mata sangat mengantuk. Esok ada nadwah (seminar) yang memerlukan kami membentang hasil perbincangan buku Pendakwah Bukan Penghukum. Saya belum lagi menyiapkan power point (ppt) untuk itu. Naqibah saya ingin berjumpa kami (anak usrahnya) pukul 5.30 petang untuk melihat hasil kerja kami sebelum esok. Perjumpaan petang itu memutuskan saya menjadi pembentang. Saya OK sahaja, sebab alhamdulillah, saya agak faham apa yang dibincangkan ketika usrah minggu lepas tentang Bab 1 & Bab 2 Buku Pendakwah Bukan Penghukum. Namun, saya perlu mengemaskini sedikit isi-isi penting di dalam ppt agar pembentangan itu berjalan lancar dan untuk itu, saya perlu membaca semula. Adoi. saya tidak tahan, mata sangat mengantuk, sebu perut masih tidak hilang, kaki badan semua sakit,  lalu saya tidur awal pada malam itu.

3 Oktober, Sabtu
Saya bangun awal. Kira-kira pukul 4 pagi. Segera menelaah buku Pendakwah Bukan Penghukum. Touch up sikit ppt yang dibuat oleh usrah kami. Saya menelaah sehingga pukul 8 pagi. Setelah berpuas hati, saya terus ke tempat nadwah (seminar) diadakan  iaitu di pejabat. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya pun menyaksikan beberapa pembentangan kumpulan usrah yang lain untuk bab-bab yang lain untuk buku tersebut. Sebelum ini, melalui entri saya, saya ada menyebut yang saya mahu membaca dahulu bab-bab lain buku Pendakwah Bukan Penghukum  agar saya boleh mendapat pemahaman yang lebih jelas. Tapi nampaknya itu hanya angan-angan belaka ya. Saya agak terkilan juga sebenarnya. Oleh kerana itu saya memasang azam akan membacanya juga dalam masa terdekat ini.  Pada sebelah petang, nasib baik saya berjaya membaca dari halaman 297-305 Bab 9 Kerajaan Islam (8 halaman). Yay! Ya, selepas itu, saya 'jatuh pengsan'. Mengantuk yang amat sangat!

4 Oktober, Ahad
Hari ini saya banyak berehat. Perut saya sebu. Setelah betul-betul diamati, bukan perut sebu, saya sebenarnya sesak nafas. saya ada sejarah asma, jadi keadaan berjerebu sebegini, sedikit sebanyak, mendatangkan kesan juga. Mujur ada berita baik kira-kira pukul 12 iaitu cuti 2 hari diberikan kepada seluruh sekolah di Malaysia kecuali Sabah Sarawak. Hooray! Hari ini saya ada juga membaca buku Pendakwah Bukan Penghukum, halaman 305-331 (26 halaman). Masih tidak berjaya menghabiskan satu bab pun. Saya sudah katakan, buku ini sangat susah difahami bahasanya. Membaca perlu dengan highlighter, pen serta pembaris. Saya berhenti awal aktiviti membaca sebab pada sebelah malamnya saya perlu menghadiri mesyuarat sekolah baru. Minggu hadapan ada Ujian Kemasukan Tahun 1 ke sekolah kami. Jadi banyak perkara perlu dibincang serta dirancang.

5 Oktober, Isnin
Banyak sikit halaman yang dibaca pada hari ini walaupun sudah pelbagai penyakit datang. Sakit kepala, sakit kaki dan sakit gigi. Macam-macam.  Saya berjaya menyelesaikan Bab 9, yang dibaca sambungannya dari halaman 332- 366. Satu kelegaan. Bab ini menyentuh tentang ketaatan kepada pemimpin, kerajaan islam, serta isu sekitarnya. Kemudian saya mula beralih ke bab lain iaitu Bab 3, halaman 99-125 yang berbincang tentang al-juhud, al-kafir, syirik, riddah dan nifaq. Dalam kata lain, bab ini berbincang  tentang iman - sejauh mana ia boleh terbatal. Bab ini merupakan bab ketiga setelah Bab 1 & Bab 2 (bab yang kumpulan usrah kami bincangkan). Bab 1 & 2 bercakap tentang ucapan 2 kalimah syahadah, isu kafir atau tidak. Bab 3 ini merupakan sambungan Bab 2, cuma ia dibincangkan dalam konteks lain. Total halaman yang dibaca pada hari ini ialah 70 halaman. 

6 Oktober, Selasa
Masih cuti lagi. Hehe. Hari ini separuh hari saya di pejabat dan di sekolah baru, ada perjumpaan dan sedikit perbincangan dengan guru besar, ahli lembaga serta guru-guru perintis yang lain. Ada juga membaca, namun tidak selancar hari sebelumnya. Cuma boleh membaca dari halaman 126-140 (14 halaman), menghabiskan Bab 3. Bab ini tidak berbelit-belit, mudah difahami dan straight to the point.

7 Oktober, Rabu
Sekolah sudah dibuka semula. Yay! Haha. Seperti biasa, penuh dengan kesibukan. Ada kelas statistik di USM juga. Jikalau saya mampu membaca buku Pendakwah Bukan Penghukum dalam situasi yang padat ini, ia agak mengkagumkan.

8 Oktober, Khamis
Sibuk. Sibuk. Sibuk. Sibuk.

9 Oktober, Jumaat
Hari ini saya mengambil cuti kerana perlu menguruskan Ujian Diagnostik sekolah baru yang kami bina ini.  Hari yang penuh bermakna buat kami semua. Alhamdulillah, Allah menolong dengan sangat banyak. Pelbagai urusan dipermudahkan dan urusan pengujianan sangat lancar. Mungkin sebab itu, ia bagaikan satu relief kot ya, jadi saya santai-santai sahaja hari ini tanpa membaca buku. Haha.



10 Oktober, Sabtu
Penat mukhaiyyam minggu lepas masih berbaki. Badan dan kaki masih sakit. Hari ini saya ada temujanji usrah dengan 2 gadis belia kira-kira pukul 10 pagi. Kami membaca Quran, tadabur sikit, buat game Quran sikit dan tazkirah. Alhamdulillah usrah yang memakan masa hampir 2 jam itu, saya rasa sangat puas mengendalikannya. Allah sangat banyak membantu di situ sebenarnya, Hari ini saya bagaikan mendapat momentum untuk menghabiskan pembacaan buku Pendakwah Bukan penghukum secepat mungkin. Saya mula membaca Bab 4 (Kuasa Pemerintahan - tentang perundangan) dan Bab 5 Aqidah Kita : Mempercayai Bahawa Hak Menentukan Hukum Hanya Kepunyaan Allah. Namun sekali lagi, mengantuk telah menewaskan saya.

11 Oktober, Ahad
Hari ini ada lagi sesi Ujian Diagnostik - sesi kedua. Setengah hari berada di sekolah baru. Kepala asyik berfikir tentang buku Pendakwah Bukan Penghukum. Saya rasa geram terhadap diri sendiri (hehe), jikalau tidak mampu menghabiskan pembacaan buku ini pada hari ini juga. Jadi perlu fokus ya. Dari satu halaman ke satu halaman, sehingga kira-kira pukul 11 malam, saya telah sampai ke halaman terakhir , 422. Yay! Jadi, buku Pendakwah Bukan Penghukum tulisan Ustaz Hasan Ismail Al-Hudhaibi dan tim merupakan buku yang ke 32 berjaya dibaca pada tahun ini.Fuh!



Buku ini sebenarnya kalau kita baca Bab 2 & 3 sahaja pun sudah memadai kerana bab-bab yang lain itu merupakan penerangan terperinci kepada 2 bab awal ini. Cuma adalah satu 2 penambahan konsep.  Buku ini mengajar pembaca untuk tidak cepat menghukum orang sebagai kafir, atau terkeluar dari Islam sewenang-wenangnya. Malah itu bukan tugas kita pun.  Kita diajar untuk tidak begitu cepat menjatuhkan hukum, tetapi perlu  melihat dengan pelbagai kondisi. Banyak penerangan berdasarkan hujah dan nas sahih yang diberikan di dalam buku ini sehingga menampakkan kita bahawa Islam merupakan agama yang sangat indah dan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  

Pengajaran yang boleh diambil dari tulisan jurnal sebegini ialah ia membantu kita membuat refleksi diri terutama tentang masa. Betulkah kesibukan yang kita lalui itu ialah satu kesibukan yang bermanfaat? Selain itu, ia juga membantu kita untuk tidak lupa, yang kita ada sebuah buku yang sedang in progress dibaca. Jadi tidaklah ia diperam berbulan-bulan, bertahun-tahun. Melalui catatan ini, jelas, yang amalan sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit, contohnya buku tadi walaupun dibaca beberapa halaman untuk sehari, tetapi kalau ia dibuat berterusan, habis juga satu buku tu kan.

0 komen: