Wednesday, November 11, 2015

33, 34, 35

Saya  membaca 3 buah buku dalam masa seminggu ini. Buku ke 33, 34 dan 35 dalam Misi 50 Buku Setahun.


Dimulakan dengan buku Sentuhan Al-Akh tulisan Inspektor Shahab. Baca-baca di dalamnya, dikatakan ini jenis buku indie. Entahlah, saya pun tidak berapa tahu sangat buku indie itu macam mana  rupa gayanya. Tapi, saya tahu tulisan di dalam ini kebanyakannya dicedok dari laman blog. Penggunaan bahasa pula, orang muda kata sempoi-santai. Maka sesuailah untuk menarik remaja atau belia (agaknya). Orang konvensional seperti saya ini, kalau terlalu banyak sangat perkataan yang mahu disesuaikan dengan selera orang muda, selalunya saya hanya belek-belek sahaja, jarang dibeli. Tetapi buku ini terlepas. Mungkin sebab darjah penggunaan bahasa melayunya masih boleh diterima. 

Cerita di dalam ini diolah dengan bermesejkan ukhuwwah, dakwah dan tarbiyah. Cerita pengalaman hidup, berjumpa orang itu, berjumpa orang ini, lalu terjelma beberapa hikmah dan peringatan.Maka cerita inspirasi itu digabung dan dikongsikan di dalam buku ini sebagai sebahagian daripada pengajaran hidup. Menarik.

Contoh ayat di dalam buku yang membuatkan saya ...eerrrr. Alamak!

" Ana belum jumpa orang ikut usrah dan bukan jurusan agama boleh berbahasa arab dengan fasih, tetapi sudah jumpa yang bukan dari institusi usrah boleh berbuat sedemikian. Adakah usrah kini tidak berkesan? "Bagaimana dengan hafalan antum?"
"Juz 30, 29, 28 sudah settle?"
"Hadis 40 mana sudah hafal?"
"Majmu' Rasail dah berapa round khatam?"
Halaman 213-214

Ayat ini pula,

"Burung-burung keluar pagi balik petang mencari rezeki. Tawakal mereka kepada Allah begitu tinggi. Tiada pernah ku dengar burung menyimpan ulat hari ini untuk dimakan minggu hadapan. Percaya bahawa rezeki telah Allah tetapkan untuknya setiap hari. Kenapa aku tidak setawakal itu?"
Halaman 194

dan ini lagi, ini sesuatu yang sangat biasa, tetapi baru saya fahami,

Asas yakin kepada diri ialah yakin kepada Allah.
Halaman 83

Bagaimana dengan ini,

"Manhaj tarbiyah harakiyah yang dibuat oleh jamaah harus berhasil membuat para pemuda hafal banyak dari ayat quran...sehingga menjadi bekalnya dalam ketaatan, tahajud dan ibadah"
Halaman 120

Krik. Krik. Akhirnya, setelah habis membaca buku, hanya mampu melihat diri, seorang binaan yang tidak menjadi. Terfikir. Ada tidak amal yang akan dibawa ke negeri abadi nanti?


Seterusnya, saya membaca buku For One More Day tulisan Mitch Albom. Buku ini sudah ada di pasaran sejak 2006. Jikalau saya melihat visual filem adaptasinya, besar kemungkinan saya akan menangis. Tetapi memandangkan, saya membacanya ketika sakit kepala, jadi tiada sebarang kesan emosi. Ini cerita tentang seorang ibu (Posey) dan anak lelakinya (Charles). Kisah seorang ibu tunggal yang menyara 2 orang anak yang sedang membesar. Setelah bercerai, kehidupan baru dimulakan dan mereka mula belajar menyesuaikan diri. Sedikit berbeza, terutama apabila berkait dengan stigma masyarakat sekeliling. Para isteri mula merasakan Posey sebagai ancaman. Posey tidak kisah semua itu, kerana dia hanya mahu membuat terbaik untuk anak-anaknya. Charles pula, seorang anak lelaki yang sentiasa  rimas dengan kasih sayang seorang ibu dan dalam masa yang sama sentiasa meletakkan ayahnya sebagai figur utama dalam hidup.

Dan,

Charles hanya memahami kasih sayang seorang ibu setelah Posey meninggal dunia, setelah kehidupan keluarga yang dibinanya hancur, setelah anak perempuannya sendiri mengabaikannya. Akhirnya itulah kemuncak, Charles memutuskan untuk membunuh diri.  Ia tidak berhenti di situ, bahkan ia menjadi permulaan kepada Charles untuk mengenali ibunya lebih dekat lagi. Charles berjumpa semula ibunya di alam lain. Itulah mesej buku ini, "What would you do if you could spend one more day with a lost loved one?". Oleh itu, bab buku ini dibahagikan kepada Midnight, Morning, Noon dan Night. Lengkap sehari, Charles bersama ibunya sebelum kembali ke alam realiti. Bahagian yang saya rasa sangat sedih sekali ialah apabila membaca beberapa catatan Charles (semacam jurnal)  yang diberi nama Times My Mother Stood Up for Me dan Times I Did Not Stand Up for My Mother. 

Apabila membaca novel ini, kita bukan membaca cerita Charles sebenarnya. Kita membaca pengalaman kita yang lalu bersama ibu kita. Benarlah, jikalau selama seumur hidup sekalipun, kita berbakti kepadanya tanpa henti, pasti tidak akan dapat menandingi atau membayar kasih sayangnya. Hargailah orang kesayangan kita selagi mereka masih hidup, kerana jikalau mereka sudah tiada, pasti kita sangat mengharapkan walau hanya sehari bersama mereka, cuba menebus semula kesalahan.



Buku ketiga ialah Menjadi Ulul Albab tulisan Dr. Danial Zainal Abidin. Hanya setebal 125 halaman, boleh dihabiskan beberapa jam. Saya suka flow sequence untuk setiap bab. Nampak kesinambungan, sekaligus memudahkan menjadi bahan tambahan ketika usrah contohnya.

Mula-mula penulis memberitahu tentang bahagian otak manusia serta fungsinya. Selepas itu, apa yang diperlukan untuk menjadi ulul albab iaitu fikir dan zikir.  Bab seterusnya, pembaca dibawa untuk memahami apa itu zikir dan dan merenungi alam serta ciptaan Allah. Dari pemerhatian tersebut, menunjukkan Al-Quran dan sains tidak boleh dipisahkan. Penulis menampilkan pula beberapa contoh ilmuwan yang kembali kepada Islam setelah menemui kebenaran melalui pengkajian. Daripada mesej-mesej tersebut, jelas menunjukkan budaya khurafat dan tahayul adalah bertentangan dengan Islam. Otak kita memerlukan ilmu untuk membantu kita membuat penilaian sejajar dengan Islam. Tidak terhad di situ. Manusia memerlukan disiplin diri dan empati untuk terus melayakkanya menjadi manusia yang cemerlang.

Sepanjang pembacaan saya tertarik dengan 2 cerita,

Kisah A
"Tunjukkan kami adanya Tuhan?"
"'Aku sedang berfikir sebuah kapal tanpa nakhoda dan anak kapal, sedang membawa muatan menuju ke sebuah destinasi"
"Ini perkataan orang gila. Mana mungkin kapal boleh belayar dengan sendirinya"
"Kamu kata aku gila sebab mengatakan kapal belayar dengan sendirinya. Bagaimana pula dengan kamu yang mengatakan alam yang mengandungi langit dan bumi, yang penuh dengan keanehan dan keajaiban, bergerak sendirinya tanpa ada yang mengaturnya?

Orang yang bijaksana itu ialah Imam Abu Hanifah.

Kisah B
"Apa bukti adanya Tuhan?"
"Adakah kamu pernah melihat daun mulberi? Kalau daun itu dimakan ulat sutera, ia akan jadi sutera. Kalau dimakan lebah, akan jadi madu. Kalau dimakan kijang, akan jadi minyak kasturi. Kalau dimakan lembu akan jadi najis. Siapakah yang menentukan hasil yang berbeza ini?"

Orang yang bijaksana itu ialah Imam As-Syafie

Okay. Masa untuk membuat tugasan akademik!

0 komen: