Monday, November 30, 2015

Mode : Ulangkaji Pelajaran

Saya sudah memulakan proses mengulangkaji untuk ke semua subjek yang diambil semester ini. Ada 3 subjek dengan 10 unit. Tidak sampai 4 minggu, peperiksaan akhir semester akan tiba.

Untuk mendapatkan momentum mengulangkaji agak susah juga sebenarnya. Tambahan pula, jikalau sibuk bekerja. Beberapa minggu yang lalu, saya sibuk dengan urusan majlis ihtifal sekolah. Saya pula menjadi pengarah program, haru biru sedikit kehidupan menguruskan kerenah yang pelbagai. Belum sempat melepaskan kelelahan ( gitu), ada kursus untuk 4 hari berturut-turut. Saya mengambil masa 3 hari untuk memulihkan kesihatan fizikal dan mental.

Hari ini merupakan hari pertama setelah berehat. Agak seronok juga apabila masa ditumpukan mengulangkaji. Sejam membaca dan menulis, selepas itu beri ganjaran kepada diri menonton tv 30 minit. Pheww. Hari ini sahaja, 1 teori kaunseling (semua ada 13 ) berjaya difahami sekaligus satu tugasan siap. Selepas itu, saya buat pre read untuk teknik kaunseling - kemahiran mendengar. Ini pun satu tugasan juga. Baru dapat the whole idea. Tinggal mahu perincikannya lagi. Malam ini insyaallah perlu baca buku teks utama tentang topik tersebut. Saya baca beberapa buah buku secara serentak termasuk yang atas talian untuk memahami sesuatu konsep. Tapis punya tapis, berjaya lah menghasilkan beberapa perenggan, semuanya ada 15 halaman yang perlu diisi.

Ada juga kesan daripada budaya membaca yang diamalkan selama ini. Oleh kerana selalu membaca buku bukan fiksyen, membaca teks akademik menjadi mudah. Alhamdulillah.

Dahulu saya selalu mendengar cerita orang, yang ada sesetengah pensyarah, terutama di UK,  dia boleh quote semula penyataan yang kita gunakan dalam tugasan. Oleh kerana itu jangan sekali berani untuk plagiat. Saya sangat kagum dengan pensyarah yang boleh tahu rujukan apa yang pelajarnya gunakan (tanpa software). Rupa-rupanya, baru saya tahu, apabila kita selalu membaca teks akademik (bidang kita), tambahan pula kalau buku itu menjadi rujukan utama (mungkin dalam 3-5buah), kita boleh secara semulajadi terhafal isi kandungan dan flow buku tersebut. Saya merasainya sendiri. Saya menggunakan hampir 4 buah buku rujukan. Saya dapati ada sebuah buku kaunseling (baru membaca sebuah teori) terbitan sebuah universiti tempatan, rujukan utamanya dicedok dari buku yang ditulis Corey ( buku rujukan utama). Sehinggakan, kalau saya tidak faham apa yang Corey sampaikan, saya rujuk buku itu semula dan begitulah sebaliknya. Saya perasan pula buku keluaran IPG untuk buku kaunseling semacam ada persamaan dengan rujukan  penulisan saya perolehi dari teks Indonesia dan internet. Malah ia lebih mudah difahami. Namun, jikalau mahu mencari info yang lebih utama dan terperinci,  seorang pelajar perlu meluaskan horizon pembacaannya. Ia sebenarnya saling lengkap melengkapi. Paling bagus, baca jurnal, sekaligus satu set pemikiran yang holistik boleh dibentuk. Tapi, saya masih belum sampai peringkat itu.Baru belajar merangkak, memahami konsep dan teori.

Baru-baru ini saya ada menghadiri 2 hari bengkel terapi seni. Menariknya di situ, pensyarah tersebut membuat review ringkas tentang buku-buku rujukan yang digunakan dalam terapi seni. Beliau juga mempamerkannya dan saya sempat membelek-belek buku tersebut. Kawan saya mahu membelinya, lalu apa yang dijawab oleh pensyarah tersebut, " eh, eh, tak.  Susah saya dapatkan buku ini. " Dari segi percakapan beliau, saya dapati beliau amat gemar mengumpul buku-buku yang ada kaitan dengan bidangnya itu. Ini sekaligus memberi saya inspirasi untuk mengumpulkan buku-buku yang ada kaitan dengan bidang yang saya mahu tumpukan. Buku -buku sebegini sangatlah mahal harganya...kalau setakat rm200-300, boleh gagah lagi, tapi kalau sudah sampai peringkat rm900, telan air liur juga.

0 komen: