Thursday, May 05, 2016

PBAKL 2016

Tahun ini merupakan kali kedua saya dan Mazlan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Ia bukan acara tahunan kami, namun sentiasa dipertimbangkan setiap tahun dan tahun ini Alhamdulillah, kami sampai juga.

Khamis, 28 April, sebaik habis kelas pukul 8 malam, kami bertolak ke Ipoh. Balik rumah mak. Awal pagi setelah sarapan, terus menuju ke Serdang. Apabila orang utara ke selatan, memang banyak ragamnya. Sesat dan hanya sampai pada pukul 1.30 ke destinasi. Tahniah! Ronda-ronda cari makanan, ehmm, boleh tahan mahalnya, tapi mungkin harga standard di sini.

Selepas itu bermulalah misi kami, dari satu booth ke satu booth. Ada 3 dewan utama. Masuk dewan yang berdekatan dahulu yang menampilkan buku-buku rujukan dari penerbit antarabangsa. Biasanya siapa yang selalu membaca jurnal akan terbiasa dengan nama-nama tersebut seperti Sage, Cengage dan Springer. Harganya boleh tahan, tetapi saya tetap mahu berangan-angan mahu mengumpulkan buku rujukan seperti ini di dalam rak buku peribadi. Suatu hari nanti mungkin. Keluar dari dewan tanpa membeli apa-apa.

Kemudian kami menuju lagi ke dewan yang kelihatan orang ramai masuk keluar di situ. Memang ada papan lokasi  yang menunjukkan tempat pameran, tetapi saya ini, almaklumlah, sangat lemah dalam membaca papan tanda jikalau berada dalam zon selesa. Hanya berharap Mazlan menelitinya. Jadi, kalau ada yang bertanya nama-nama dewan pameran atau yang berkaitan lokasi, susah sikit untuk saya jelaskan. Booth pertama kami lawat ialah PTS. Scan dahulu baru buat pilihan. Jadi kami bergerak lagi ke booth kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Mazlan kata, "Kita jalan lurus sampai ke hujung, kemudian kita tengok bahagian sini pula, jalan zig zag sehingga sampai penamat".

Ada pelbagai booth yang menarik perhatian lalu terbeli di situ. Antaranya buku-buku yang menjual buku Indie dakwah. Kami singgah juga di booth yang ada banner besar #HijrahIndie. Membeli sakan buku-buku Salim A. Fillah di situ. Mujur sempat rasional  sedikit, kalau tidak, mungkin  boleh jatuh papa kedana. Kami terus berjalan mencari buku-buku yang berlainan sikit dan akhirnya tiba di destinasi yang paling hujung iaitu ITBM. Mazlan gemar di sini. Saya juga. Booth yang paling lama kami bertapa, duit pun boleh tahan dilaburkan di situ. Hujan lebat di luar, semakin kami tidak mahu bergerak.

Setelah itu, kami berdua tertanya-tanya, "Sikit je ya bang", membuat perbandingan 2 tahun yang lalu, rasanya lebih banyak booth. Saya mula pelik, di mana booth lain yang saya nampak di instagram. Mungkinkah ada dewan lain. Kami berteka-teki, kaki terus berjalan, mata terus liar mencari kemungkinan ada dewan lain, dan akhirnya sampai ke satu dewan lagi. Di sini lagi meriah rupanya. Kami tiba di booth yang menjual pelbagai buku Othman Talib, tokoh yang famous di FB dengan bukunya menulis tesis dengan mudah.  Baucar buku hanya tinggal RM50, baki selebihnya harga buku dibayar dengan tunai. Terjumpa booth Fatimah Syarha, terus ambil Tab Tee La. Setelah membaca Berlumba dengan Ayam, saya semakin tidak keruan dengan tulisan baharu penulis yang bukan berelemen cinta. Sebelum itu, sebenarnya saya sudah berhabisan duit di kedai buku Syabab membeli beberapa buku terbitan Indonesia. Sebaik tiba di ruang Mapim yang menampilkan pelbagai buku terbitan universiti tempatan, saya sudah hilang semangat, kaki sakit, kepala pening, namun masih galak memperhati lagi buku. Boleh sempat ushar booth Dewan Bahasa & Pustaka di tepinya serta sempat lagi mengambil beberapa buah buku yang dirasakan sesuai sebagai rujukan. Di dewan ini juga, kami berjumpa dengan Ustaz Salim A. Fillah, penulis dari Indonesia yang memang sangat terkenal dengan buku-buku dakwahnya, cuma saya sahaja yang tidak sudah-sudah mengkhatamkan buku beliau.

Selepas itu, tamat sudah sesi kami di PBAKL untuk tahun ini. Tidak bercadang untuk kembali semula ke sini keeesokan harinya kerana ada pelbagai agenda lain. Inilah hasil tangkapan untuk tahun ini. Jalan-jalan di pesta buku, membeli dan membacanya ialah satu terapi yang menyenangkan. Melihat buku-buku yang tersusun kemas sudah membuatkan pembaca tersenyum walaun sedar dia tidak akan mampu menyelesaikan pembacaannya.


0 komen: